Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera…
Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah dan kurniaNya dapatlah
saya melafazkan sepatah dua kata dalam buku pengurusan tahunan SMK Dato’ Mahmud
Paduka Raja (1) bagi tahun 2017. Sekalung ucapan terima kasih kepada semua guru
kerana kita telah diberi peluang dan ruang untuk bersua kembali dan sama-sama
menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan pada tahun ini. Justeru, saya
ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat kembali dan selamat
bertugas di SMKDMPR (1). Semoga lebaran 2017 akan menyuntik semangat dan
keazaman yang lebih hebat dan gah dalam meningkatkan kualiti pendidikan Negara.
Buku Pengurusan Tahunan 2017 ini merupakan dokumen rasmi
bertujuan bagi melicinkan perjalanan pengurusan sekolah untuk mencapai hala
tuju organisasi yang cemerlang. Jadikanlah buku ini sebagai rujukan dan panduan
semasa menjalankan tugas yang semakin rencam ini. Moga impian dan harapan kita
untuk melahirkan generasi terdidik mental, fizikal dan sahsiah dapat dizahirkan
selaras kehendak Falsafah Pendidikan Negara. Natijahnya motto “Paduka
Sentiasa Di Hadapan” akan menjadi kenyataan dan bukan hanya ilusi.
Pastinya gandingan mantap semua warga akan dapat melunaskan dan melancarkan
semua program yang dirancang sepanjang tahun.
Sesungguhnya guru berkualiti akan menjadi Uswatun Hasanah
dalam membentuk insan yang berilmu, inovatif, kreatif, berdaya saing,
berketerampilan, berakhlak mulia, cekal menghadapi cabaran serta tebal semangat
patriotiknya. Semua ini menjadi aset yang amat bernilai dan mampu menjulang negara ke arah sebuah negara yang bertamadun dan maju
menjelang tahun 2020.
Saya berharap guru-guru dapat menghayati visi dan misi
sekolah dalam meneruskan kelangsungan memikul tanggungjawab yang diamanahkan
dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan pengurusan. Berkhidmatlah tanpa
mengenal erti jemu atau penat lelah dan sentiasa tawadu’ dan berintegriti demi
membela nasib pelajar pewaris kepimpinan kini.
Akhir kata, marilah kita sama-sama ke bukit sama didaki ke
lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk
mengangkat martabat bangsa kita menerusi wadah pendidikan. Perahu sudah di air,
pendayung sudah di tangan. Ayuhlah…
Sekian, terima kasih.
“PENDIDIKAN
BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA”
(KAMARUZAMAN BIN ZAKARIA)
PENGETUA
SMK
DATO’ MAHMUD PADUKA RAJA (1)
17500
TANAH MERAH, KELANTAN